Pra-kata Penterjemah (5)


..... sambungan


Maksudnya: Memadailah seseorang itu sampai kepada Allah ta'ala dengan makna-makna yang tersirat di dalam sifat-sifat Allah itu, dan itu saja pun sudah menjadi kemuncak pengetahuan. Adapun pengetahuan mengenai ZatNya menurut apa yang difahamkan oleh akal fikiran, maka itu tentulah mustahil, kerana tidak akan sama Zat Pencipta yang kekal itu dengan zat yang dicipta yang bersifat binasa, tentu tidak ada persamaannya, dan apabila tidak ada persamaannya, tentu tidak akan kesampaian kepadanya.

Kemudian ditambah pula oleh Al-Junaid dengan katanya: Bilakah boleh kesampaian siapa yang tidak ada serupanya atau tidak ada samanya dengan siapa yang punyai serupa dan sama, jauh panggang dari api. Ini adalah suatu dugaan yang luar biasa , kecuali jika diperlembutkan oleh Tuhan Maha Pelembut dengan cara tidak ada bantuan, tidak ada waham, dan tidak ada liputan, kecuali hanya dengan isyarat keyakinan dan hakikat keimanan semata.

Bila Allah mahu memberikan sesuatu ilmu kepada hambaNya, maka yang demikian itu akan berlaku tanpa perlu bantuan sesiapapun, tidak ada waham yang menggangguinya dan tidak ada liputan apapun, hanya dengan tercetusnya keyakinan didalam hati, lalu diteguhkan dengan keimanan yang semakin hari semakin bertambah.

Kemudian As-Sohrawardi pula menyatakan: Bahawa penyambungan dan kesambungan, yakni kepada Allah ta’ala, sebagaimana yang dijelaskan oleh para syaikh, iaitu: Sesiapa yang telah sampai kepada kesucian yakin menerusi perasa dan penghayatan, maka itu adalah suatu tingkat kesampaian. Kemudian dari situ bagi mereka yang sudah sampai itu berbeza-beza pula keadaannya. Di antara mereka ada yang mendapati Allah melalui perbuatannya, maka itu dinamakan ‘tingkat tajalli’, maka akan fanalah perbuatannya dan perbuatan selainnya kerana telah berhadapan dengan perbuatan Allah ta’ala, dan orang ini akan terkeluar daripada keadaan menguasai diri dan pilihan, dan ini juga salah satu tingkat kesampaian.


5


<<   Prev                                                                                          Next   >>