Pra-kata Penterjemah (4)


..... sambungan


Jalan menuju kepada Allah itu tidak ada penghujungnya, demikian yang dikatakan umumnya ahli sufi, kerana ilmunya termasuk ilmu amalan, dan amalan itu tidak ada kemuncaknya, betapa banyak yang dapat dikerjakan oleh sang hamba, namun itu masih terlalu sedikit. Ilmu ini tidak sama dengan ilmu zahir, yang biasanya ditangani oleh para ulama sesuai dengan menentukan hukum-hakam sesuatu perkara. Bahkan ilmu itu adalah suatu kenyataan, atau perasaan, atau pengalaman, atau sesuatu yang menyentuh kebatinan seseorang hamba dan yang bersumber daripadanya, tegasnya apa yang dirasakan oleh siapa yang sudah berada di dalam gerbang makrifat kepada Allah yang jalannya tidak ada akhirnya. Dimulakan oleh sang hamba itu membersihkan zahirnya daripada daki-daki dunia dan karat yang ditinggalkan oleh kemewahan hidupnya, yang dikendalikan oleh hawa nafsu yang bersarang di dalam hati.

Bagaimanakah peribadatan hamba itu dapat menjadi bersih dan suci, apabila hatinya penuh dengan kotoran, karat dan daki? Sebab hati itu adalah raja segala anggota badan, dialah yang memerintah dan melarang. Maka selama hati itu terbiar, tidak dijaga dan diperhatikan, tidak dibersihkan dan tidak disucikan, selama itulah ia akan ditimpa kotoran, daki dan karat, dan hati yang semacam ini tidak sesuailah ia menjadi tempat singgahan cahaya Allah yang akan membimbing tuannya ke jalanNya itu.

Jadi bagaimana hendak sampai kepada Allah? Saya pinjam bebepapa kata-kata ahlinya, yang saya nukil daripada kitab 'Syarah Al-hikam' yang ditulis oleh Imam Ibnu Atha'illah As-Sekandari dalam bab 'Sampainya anda Kepada Allah', katanya:

Sampainya anda kepada Allah ialah sampainya anda kepada pengetahuan dengan Allah. Yakni, katanya lagi: "Untuk menyampaikan dirimu kepada Allah, sebagaimana yang ditunjukkan oleh kaum ahli thariqat, iaitu sampainya anda ketahap mengetahui sepenuh hakikat dengan Allah ta'ala. Dan yang demikian itu adalah kemuncak jalan yang dapat dicapai oleh orang menuju kepada Allah. Adapun kesampaian yang difahamkan oleh pemikiran kita antara diri kita dengan Zat Allah ta'ala, maka itu tidaklah dapat kesampaian kepadanya".


4


<<   Prev                                                                                          Next   >>

Pra-kata Penterjemah (3)


..... sambungan


Mujur sekali ada pendapat lain yang mengatakan, bahawa di mana kita menghayati solat itu dengan penuh kusyuk beserta fikiran yang tenang, maka itulah yang dikira solat, manakala yang selainnya tidaklah dikira solat. Jadi sewajarnyalah, kita memperhitungkan solat yang kita kerjakan setiap kali kita kerjakan, apakah kesemuanya boleh dikira solat, atau setengahnya, atau sukunya, atau seperenamnya, atau kesemuanya tidak boleh dikira solat. Sebab solat yang tidak disempurnakan dengan sebaik-baiknya akan naik ke atas langit dalam keadaan hitam legam, lalu ia berkata kepada tuannya: "semoga Allah mensia-siakanmu, sebagaimana engkau mensia-siakan aku", lalu solat itu dilipat-lipat sebagaimana dilipatkan baju-baju yang koyak-rabak, dan dipukulkan ke wajah orang yang mengerjakannya. Dan sebaliknya, solat yang disempurnakan dengan baik akan naik ke atas langit dalam keadaan putih bersih dan cemerlang, lalu berkata solat itu kepada tuannya: "Semoga Allah memeliharamu, sebagaimana engkau memeliharaku".

Engkau berdiri bersolat sedang hatimu ke sana ke mari.
Tidakkah engkau sedar bahawa perbuatan itu jahat sekali?
Engkau berdiri dan berukuk dan bersujud berulang kali
Namun rakaatnya mengapa kau lupa tidak ingat berapa kali?
Celaka engkau,apakah ini solat yang engkau tunaikan?!
Kepada tuhan Rabbul-alamin yang selalu engkau serukan
Taqwa dan rahmat belas-kasihan yang engkau harapkan
Padahal hatimu terus berpaling terus membelakangkan
Kepada yang lain engkau sibuk mengira dan mengingatkan
Inikah yang kau katakan solat tanpa khusyuk yang kau sertakan???!
Ingatlah kawan, jika solat itu ditolak dan dikembalikan
Alamat celaka menimpa badan di hari sudah hari kebangkitan!
Perkara ini bukan khayalan atau suatu rekaan, malah ia adalah hakikat yang mesti diperhatikan dengan sewajarnya, maka apa jalan untuk mengelakkannya dan membetulkan solat kita itu, sebagai hamba yang benar-benar patuh jalan untuk menuju kepada Allah ta'ala, hamba dengan tuhan.

Allah ta'ala telah berfirman:

"Dan tiadalah Aku mencipta jin dan manusia itu melainkan untuk menyembahKu!"

[Adz-Dzariyat:56]

3


<<   Prev                                                                                          Next   >>

Pra-kata Penterjemah (2)


..... sambungan


Barangkali kita sudah mengerjakan solat lima waktu, dan ini adalah termasuk perlaksanaan kita terhadap sifat taqwa yang kita laungkan, akan tetapi sudahkah kita mengerjakan solat itu dengan hakikatnya? Sebab solat itu, memang semua orang boleh mengerjakannya, termasuk juga anak-anak kecil yang kerap kita lihat mengerjakannya, namun begitu, apakah memadai kita bersolat seperti solatnya anak-anak kecil itu?! Tentu tidak! Jadi cubalah kita perhatikan kepada solat-solat yang sudah kita kerjakan itu, di mana dan bagaimana letaknya? Kemuncak solat itu adalah di makam Al-Ihsan, sedang makam Al-Ihsan itu pula disimpulkan dengan :

"Hendaklah anda menyembah Allah seolah-olah anda melihatNya , jika anda tidak melihatNya, maka ketahuilah bahawa Allah sentiasa melihat anda!"

Para ulama ilmu zahir sibuk mencari huraian terhadap masalah ini, apakah jalan keluarnya untuk mengatakan bahawa solat yang sudah kita kerjakan itu adalah hakikat solat, kerana banyak solat yang dikerjakan itu hanya berupakan gerak-geri anggota tubuh semasa, cuma dibezakan adanya niat solat sahaja. Jadi yang berpendapat tegas dan "keras" mengatakan bahawa yang boleh dikatakan "solat itu solat" mestilah ia menurut salah satu dari dua cara yang disebutkan dalam pengertian makam Al-Ihsan di atas tadi. Maka cara yang yang dikatakan "anda dapat melihat Tuhan dalam solat anda", tentulah jauh sekali, kecuali sesiapa yang dikehendaki Tuhan daripada golongan kaum ahli makrifatNya yang asli. Lalu yang masih tinggal sekarang ialah cara yang kedua, iaitu "kita tetap dilihat oleh Tuhan", yakni cara biasa, sebab kita semua sudah tahu dan percaya dengan penuh keyakinan bahawa segala gerak-geri kita memang dilihat dan diperhatikan oleh Tuhan, biar dimana-mana sekalipun, tiada sesuatu pun yang akan terlepas daripada pengetahuan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Sekarang kita harus mengukur diri kita, bagaimana gerak-geri kita di dalam solat, dan bagaimana pula di luar solat, supaya ada perbezaan antara keduanya. Jika keadaan kita dalam solat sama dengan keadaan kita di luar solat, maka apalah yang ada perbezaanya, dan jika tidak ada perbezaanya, tentulah bukan solat namanya, kecuali ia berupa gerak-geri anggota badan semata. Malah biasanya gangguan hati dan fikiran lebih tidak tenteram apabila kita sedang dalam solat, berbanding dengan kita di luar solat. Mengapa begitu? Inilah masalahnya yang setiap kita mesti menghuraikanya sendiri, kerana tiada siapa pun dapat menolong diri kita melainkan kita sendiri.


2


<<   Prev                                                                                          Next   >>

isikitab.blogspot.com

Pra-kata Penterjemah (6)


..... sambungan


Ada yang diberhentikan di makam kehebatan dan kemesraan yang telah tersingkapkan oleh hatinya disebabkan penglihatan kebesaran dan keindahan, yang mana ditakrifkan sebagai tajali menerusi sifat-sifat [Allah], dan ini juga suatu tingkat kesampaian. Dan ada yang meningkat ke makam fana yang terliputi kebatinannya oleh cahaya keyakinan [kepada Allah], dan penyaksian, terghaib pada penyaksiannya akan kewujudanNya, dan ia semacam tajali ZatNya yang mulai bagi kaum Muqarrabin yang khusus, dan ini juga satu tingkat kesampaian. Kemudian di atas tingkat iniialah tingkat Haqqul-yaqin, yakni keyakinan yang hakiki, dan ia berlaku di dunia sebagai satu lintasan, iaitu pengliputan cahaya penyaksian pada keseluruhan diri hamba itu sehingga tercapai cahaya itu pada rohnya, hatinya, jiwanya sehingga kulitnya, dan ini adalah setinggi-tinggi tingkat kesampaian. Maka apabila kesemua hakikat ini tercapai dalam pengetahuan sang hamba beserta semua ehwal yang mulia ini, bahawa dia sudah berada pada langkah pertama di dalam benteng itu, maka barulah difikirkan bilakah agaknyaia akan sampai, terlalu jauhlah perjalanannya, tidak akan terputus dan tidak akan ada akhirnya bila diukur dengan umur akhirat yang abadi itu, apatah lagi bila diukur dengan umur dunia yang pendek pula.

Demikian caranya menuju kepada Allah ta’la dengan bermacam-macam tingkatnya yang serba sulit sekali dipandang oleh pandangan kita yang berhati kosong terhadapnya, namun apabila sudah sampai kegerbangnya, lalu memasuki pintunya, dan lancar pula perjalanan kita ke sana, tentu rasa hati akan berubah bertukar menjadi perasaan yang lain, suatu perasaan yang tersirami pancaran kekurniaan yang tinggi, dari sumber rahmat yang sejati, iaitu induk segala makrifat kepada Allah ta’ala.

Apabila kita menelek kata-kata yang di atas, tentu kita akan terpegun, tidak tahu dari mana semestinya kita memulakan perjalanan kita kegerbang makrifat itu, khususnya apabila kita mengingatkan dari hal serba kekurangan dalam menundukkan diri terhadap perintah-perintah Allah ta’ala yang kita junjung di atas kepala kita ini. Dan kalau kita terus dalam kehairanan pula, tidak mula menapak menuju ke sana, kita akan terus dalam kegelapan, iaitu kegelapan yang menimpa hati yang bukan boleh disuluh lampu kematerialan yang boleh dibeli di pasaran.


6


<<   Prev                                                                                          Next   >>