Pra-kata Penterjemah (9)


..... sambungan


Menelek Hadis qudsi ini, kita difahamkan betapa Allah ta’ala memberikan perhatian penuh kepada hambaNya ynag benar-benar ingin mencari keredhaanNya, bermula dengan meletakkan baik sangkanya kepada Allah ta’ala dalam mencapaikan zikir dan ingatan kepadaNya, dan Hadis ini juga memberitahu kita bahwa segala gerak-geri hamba itu dan segala lintasan hati dan fikirannya sedang diperhatikan oleh siapa yang diingatinya itu, tiada siapa pun yang akan terlepas dari pengetahuan Allah ta’ala. Sebab Hadis ini mengatakan, seandainya hamba itu mengingati Allah dalam dirinya , nescaya dia akan dibalasi Allah dengan diingatinya di dalam DzatNya Yang Maha Mulia itu, dan jika sang hamba itu mengingati Allah dalam satu kumpulan yang ramai, maka Allah akan mengingatinya pula dalam kumpulan ramai yang lebih mulia dari kumpulannya

Kemudian jika sang hamba itu mendekatkan diri kepada Allah seumpama jaraknya sejengkal, Allah membalasnya dengan mendekatinya sehasta, jika sang hamba sehasta, Allah membalasnya dengan berganda, iaitu dua hasta. Jika dia mendatangi Allah dengan berjalan kaki, Allah mendatanginya dengan berlari, Alhasil semua balasan Tuhan itu adalah lebih baik dan berganda daripada perbiatan hamba itu sendiri.

Kita seharusnya menilai kembali bahawa zikir itu faedahnya untuk siapa, kalau tidak untuk kita sendiri. Yakni, bagaimana sambutan Tuhan kepada zikir hambaNya padahal Dia tidak perlu kepadanya, dan Dia tidak rugi apa-apa pun jika hambaNya tidak mengingatiNya, malah yang rugi itu hambaNya sendiri, kerana Allah ta’ala telah menyediakan bermacam-macam cara untuk membals sang hamba yang patuh dan taat kepadaNya itu. Kemudian cuba kita lihat pula, bagaimana sambutan kita kepada tawaran Allah yang sangat bersifat Pemurah itu, apakah kita menyambutnya secara positif, dan kalau tidak, maka apa sebabnya?

Dan kalau sudah sampai begitu sekali tawaran Alalh ta’ala kepada kita, namun kita tidak menyambutnya dengan baik, dan kita tidak berlumba-lumba mahu mengingatiNya, maka apalah lagi yang hendak dikatakan kepada orang yang mengaku dirinya hamba Tuhan, tetapi tidak mahu menyahut seruan Tuhannya!


9


<<   Prev                                                                                          Next   >>