Pra-kata Penterjemah (7)


..... sambungan


Gelap di rumah dapat di terangi.. dibeli lampu untuk menerangkan
Gelap di hati yang penuh daki.. apa ubatnya jika tak disucikan
Penyakit di badan mudah diubatkan.. dicari tabib untuk menawarkan
Penyakit di hati siapa yang tahu.. selain Allah siapa yang menjadikan
Mensucikan hati mudah sekali.. semua dunia ke samping dilontarkan
Agar cahaya menempati hati.. semua dakinya terus dihumbankan
Barulah dapat meningkat diri.. kepada Allah tuhan yang disembahkan
Makrifat membawa diri mendaki.. kemuncak tinggi tempat dimuliakan

Ya, di situlah tempat singgahan para ahli makrifat, berselera dan berseimbang, menujukan munajatnya ke hadrat Tuhan yang Maha Kaya, bersenang dan bermesra, penuh bahagia, didudukkkanTuhan tempat yang mulia, di kemuncak Hazhiratul-qudus mereka mengembara, tubuhnya fana hatinya yang berbicara, kepada siapa lagi, jika tidak kepada Tuhan Yang Maha Esa, tempat bergantung semua perkara!

Ya, semakin kita mendalami semakin jauh kita pergi, tetapi berbeza sekali, antara aku dan mereka yang ahli, yang merangkul tubuhnya sinar nurani, makrifat kepada Allah memenuhi hati, yang dipandang bukanlah peribadi, tetapi rohani!

Ya, tentulah tidak sama dengan bercakap dengan lisan, lalu penanya yang mencatitkan, sedang hatinya belum berkenalan, makrifat pula jauh sekali, kerana ianya bukan barang yang boleh dijual-beli, jauh panggang dari api, kalau mahu mesti dicari, siang dan malam mengabdi diri, kepada dunia jangan dipandang, dengan manusia diletak di belakang, biarkan semua itu usang!

Wahai Tuhan! Apakan daya? Berikanalah kegembiraan hati hamba, mengenaliMu Yang Maha Esa, bertelimpuh di hadratMu duduk bermesra, penuh rindu dan penuh cinta, mengingatiMu setiap masa, tentulah boleh jika ada kurnia... kurnia siapa? KurniaMu duhai Tuhanku yang tak pernah "reda", sentiasa ada... tetapi manusia?! Selalunya lupa. selalu alpa, tak kenang budi tak punya rasa! Menagapa?! ya.. mengapa?! Sangat benar Engkau "berkata", di dalam Al-Quran Engkau berbicara :

"Bahkan apa yang sudah mereka kerjakan menjadi karat bagi hati mereka. Bahkan, sesungguhnya mereka di hari itu terdinding dari Tuhannya".
(Al-Muthaffifin: 14-15)

7


<<   Prev                                                                                          Next   >>

Pra-kata Penterjemah (8)


..... sambungan


Ya Allah! Ya Tuhanku! Janganlah jadikan hamba-hambaMu sampai begitu!Ampunilah kami sepenuh rahmatmu! Bukankah kami hamba-hambamu?! Yang lemah, yang tak berdaya, selalu pernah berjaga, itu semua memang salah, seribu kali salah, kami mengaku salah. Tetapi rahmatMu mendahului kemurkaanMu, kemurahanMu mengatasi maksiat kami kepadaMu. Engkau memang Maha Pengampun! Maha Pengasih! Maha Penyayang! Kepada hamba-hambaMu sangat belas-kasihan! Kalau Engkau tidak mengampuni kami, siapa lagi yang boleh mengampuni kami? Kalau Engkau tidak mengasihi kami, siapa lagi yang akan mengasihi kami?! Kalau Engkau tidak menyayangi kami, siapa lagi yang akan menyayangi kami?! Sedangkan Engkau adalah Tuhan kami, tiada Tuhan lagi selain Engkau!

Sampai di sini sajalah penaku dapat menulis, hatiku pecah kerana mengingatkan diri yang sangat cuai dan lalai, air mataku mengalir tanpaku sedarkan lagi. Dan kalau itu tanda keinsafan, moga-moga ia akan berkekalan, jangan sampai ada hanya ketika berada di persimpangan jalan belaka. Dan aku akhiri bicara ini dengan membawakan dua buah Hadis Qudsi untuk dijadikan kesimpulan bicara ini, kerana kedua-duanya merupakan permulaan perjalanan bagi siapa yang menuju kepada makrifat Allah, dan juga bagi ahli makrifat yang berenang di dalam gelombangnya, dan kerana kedua-dua Hadis Qudsi tersebut juga sebagai permulaan jalan dan pengakhirannya, cuba perhatikan kepada kandungannya, moga-moga terdorong hatimu kepadanya, iaitu :

"Berfirman Allah azzawajalla: Aku selalu mengikuti sangkaan hambaku kepadaKu, dan aku sentiasa bersama-samanya ketika ia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu dalam dirinya, Aku pun akan mengingatinya dalam diriKu (Dzatku). Jika ia mengingatiKu di hadapan orang ramai, Aku pun akan mengingatinya di hadapan orang ramai yang lebih baik dari kumpulannya. Jika ia mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta, Jika ia mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya dua hasta. Jika ia mendekatiKu dengan berjalan kaki, Aku akan mendekatinya dengan berlari."

8


<<   Prev                                                                                          Next   >>

Pra-kata Penterjemah (10)


..... sambungan



Dan Hadis yang lain pula berbunyi:

“Daripada Abu Hurairah radhialluahu-anhu, berkata : Telah berkata Rasullullah s.a.w. : Sesungguhnya Allah ta’ala telah berfirman : Barang sesiapa yang memusuhi waliKu (orang yang setia kepadaKu), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hambaKu yang bertaqarrub (beramal bakti) kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Kucintai daripada ia menunaikan semua yang Kufardhukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hambaKu sentiasa bertaqarrub kepadaKu dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Apabila aku telah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya, dan andai kata ia memohon kepadaKu pasti akan Kuberinya, dan andai kata ia berlindung kepadaKu pasti akan Kulindunginya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dan Hadis Qudsi yang kedua ini pula mengingatkan kita tentang pengisytiharan perang daripada Allah ta’ala kepada sesiapa yang memusuhi para kekasihNya, iaitu para wali Allah. Tetapi siapakah yang sanggup menghadapi peperangan Tuhan ini?! Namun begitu, memang ada pada setiap zaman orang yang tidak mencintai siapa yan dicintai Allah, malah dia memusuhinya, terkadang-kadang dengan sebab-sebab yang bodoh, dan terkadang-kadang tanpa sebab apa pun. Sungguh Ajaib sekali!

Kemudian Hadis ini memberikan gambaran, bagaimana seseorang hamba itu dapat mencapai kasih Allah ta’ala, iaitu bermula dengan menunaikan segala yang diwajibkan Allah ke atas dirinya, seperti menunaikan ibadat solat, puasa, haji dan zakat dengan segala liku-likunya yang lain. Itu samalah dengan suatu pendekatan kepada Allah ta’ala.


10


<<   Prev                                                                                          Next   >>

Pra-kata Penterjemah (9)


..... sambungan


Menelek Hadis qudsi ini, kita difahamkan betapa Allah ta’ala memberikan perhatian penuh kepada hambaNya ynag benar-benar ingin mencari keredhaanNya, bermula dengan meletakkan baik sangkanya kepada Allah ta’ala dalam mencapaikan zikir dan ingatan kepadaNya, dan Hadis ini juga memberitahu kita bahwa segala gerak-geri hamba itu dan segala lintasan hati dan fikirannya sedang diperhatikan oleh siapa yang diingatinya itu, tiada siapa pun yang akan terlepas dari pengetahuan Allah ta’ala. Sebab Hadis ini mengatakan, seandainya hamba itu mengingati Allah dalam dirinya , nescaya dia akan dibalasi Allah dengan diingatinya di dalam DzatNya Yang Maha Mulia itu, dan jika sang hamba itu mengingati Allah dalam satu kumpulan yang ramai, maka Allah akan mengingatinya pula dalam kumpulan ramai yang lebih mulia dari kumpulannya

Kemudian jika sang hamba itu mendekatkan diri kepada Allah seumpama jaraknya sejengkal, Allah membalasnya dengan mendekatinya sehasta, jika sang hamba sehasta, Allah membalasnya dengan berganda, iaitu dua hasta. Jika dia mendatangi Allah dengan berjalan kaki, Allah mendatanginya dengan berlari, Alhasil semua balasan Tuhan itu adalah lebih baik dan berganda daripada perbiatan hamba itu sendiri.

Kita seharusnya menilai kembali bahawa zikir itu faedahnya untuk siapa, kalau tidak untuk kita sendiri. Yakni, bagaimana sambutan Tuhan kepada zikir hambaNya padahal Dia tidak perlu kepadanya, dan Dia tidak rugi apa-apa pun jika hambaNya tidak mengingatiNya, malah yang rugi itu hambaNya sendiri, kerana Allah ta’ala telah menyediakan bermacam-macam cara untuk membals sang hamba yang patuh dan taat kepadaNya itu. Kemudian cuba kita lihat pula, bagaimana sambutan kita kepada tawaran Allah yang sangat bersifat Pemurah itu, apakah kita menyambutnya secara positif, dan kalau tidak, maka apa sebabnya?

Dan kalau sudah sampai begitu sekali tawaran Alalh ta’ala kepada kita, namun kita tidak menyambutnya dengan baik, dan kita tidak berlumba-lumba mahu mengingatiNya, maka apalah lagi yang hendak dikatakan kepada orang yang mengaku dirinya hamba Tuhan, tetapi tidak mahu menyahut seruan Tuhannya!


9


<<   Prev                                                                                          Next   >>

Pra-kata Penterjemah (5)


..... sambungan


Maksudnya: Memadailah seseorang itu sampai kepada Allah ta'ala dengan makna-makna yang tersirat di dalam sifat-sifat Allah itu, dan itu saja pun sudah menjadi kemuncak pengetahuan. Adapun pengetahuan mengenai ZatNya menurut apa yang difahamkan oleh akal fikiran, maka itu tentulah mustahil, kerana tidak akan sama Zat Pencipta yang kekal itu dengan zat yang dicipta yang bersifat binasa, tentu tidak ada persamaannya, dan apabila tidak ada persamaannya, tentu tidak akan kesampaian kepadanya.

Kemudian ditambah pula oleh Al-Junaid dengan katanya: Bilakah boleh kesampaian siapa yang tidak ada serupanya atau tidak ada samanya dengan siapa yang punyai serupa dan sama, jauh panggang dari api. Ini adalah suatu dugaan yang luar biasa , kecuali jika diperlembutkan oleh Tuhan Maha Pelembut dengan cara tidak ada bantuan, tidak ada waham, dan tidak ada liputan, kecuali hanya dengan isyarat keyakinan dan hakikat keimanan semata.

Bila Allah mahu memberikan sesuatu ilmu kepada hambaNya, maka yang demikian itu akan berlaku tanpa perlu bantuan sesiapapun, tidak ada waham yang menggangguinya dan tidak ada liputan apapun, hanya dengan tercetusnya keyakinan didalam hati, lalu diteguhkan dengan keimanan yang semakin hari semakin bertambah.

Kemudian As-Sohrawardi pula menyatakan: Bahawa penyambungan dan kesambungan, yakni kepada Allah ta’ala, sebagaimana yang dijelaskan oleh para syaikh, iaitu: Sesiapa yang telah sampai kepada kesucian yakin menerusi perasa dan penghayatan, maka itu adalah suatu tingkat kesampaian. Kemudian dari situ bagi mereka yang sudah sampai itu berbeza-beza pula keadaannya. Di antara mereka ada yang mendapati Allah melalui perbuatannya, maka itu dinamakan ‘tingkat tajalli’, maka akan fanalah perbuatannya dan perbuatan selainnya kerana telah berhadapan dengan perbuatan Allah ta’ala, dan orang ini akan terkeluar daripada keadaan menguasai diri dan pilihan, dan ini juga salah satu tingkat kesampaian.


5


<<   Prev                                                                                          Next   >>