Pra-kata Penterjemah (6)


..... sambungan


Ada yang diberhentikan di makam kehebatan dan kemesraan yang telah tersingkapkan oleh hatinya disebabkan penglihatan kebesaran dan keindahan, yang mana ditakrifkan sebagai tajali menerusi sifat-sifat [Allah], dan ini juga suatu tingkat kesampaian. Dan ada yang meningkat ke makam fana yang terliputi kebatinannya oleh cahaya keyakinan [kepada Allah], dan penyaksian, terghaib pada penyaksiannya akan kewujudanNya, dan ia semacam tajali ZatNya yang mulai bagi kaum Muqarrabin yang khusus, dan ini juga satu tingkat kesampaian. Kemudian di atas tingkat iniialah tingkat Haqqul-yaqin, yakni keyakinan yang hakiki, dan ia berlaku di dunia sebagai satu lintasan, iaitu pengliputan cahaya penyaksian pada keseluruhan diri hamba itu sehingga tercapai cahaya itu pada rohnya, hatinya, jiwanya sehingga kulitnya, dan ini adalah setinggi-tinggi tingkat kesampaian. Maka apabila kesemua hakikat ini tercapai dalam pengetahuan sang hamba beserta semua ehwal yang mulia ini, bahawa dia sudah berada pada langkah pertama di dalam benteng itu, maka barulah difikirkan bilakah agaknyaia akan sampai, terlalu jauhlah perjalanannya, tidak akan terputus dan tidak akan ada akhirnya bila diukur dengan umur akhirat yang abadi itu, apatah lagi bila diukur dengan umur dunia yang pendek pula.

Demikian caranya menuju kepada Allah ta’la dengan bermacam-macam tingkatnya yang serba sulit sekali dipandang oleh pandangan kita yang berhati kosong terhadapnya, namun apabila sudah sampai kegerbangnya, lalu memasuki pintunya, dan lancar pula perjalanan kita ke sana, tentu rasa hati akan berubah bertukar menjadi perasaan yang lain, suatu perasaan yang tersirami pancaran kekurniaan yang tinggi, dari sumber rahmat yang sejati, iaitu induk segala makrifat kepada Allah ta’ala.

Apabila kita menelek kata-kata yang di atas, tentu kita akan terpegun, tidak tahu dari mana semestinya kita memulakan perjalanan kita kegerbang makrifat itu, khususnya apabila kita mengingatkan dari hal serba kekurangan dalam menundukkan diri terhadap perintah-perintah Allah ta’ala yang kita junjung di atas kepala kita ini. Dan kalau kita terus dalam kehairanan pula, tidak mula menapak menuju ke sana, kita akan terus dalam kegelapan, iaitu kegelapan yang menimpa hati yang bukan boleh disuluh lampu kematerialan yang boleh dibeli di pasaran.


6


<<   Prev                                                                                          Next   >>